PBS

1.0 PENGENALAN PBS

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah . Ianya dirancang, ditadbir, diskor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

PBS merupakan salah satu komponen pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Demi menjamin kualiti pelaksanaan PBS, mekanisma penyelarasan dan pemantauan akan dilaksanakan untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan skor pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah.

Sekolah wajib melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi semua mata pelajaran yang mempunyai komponen kerja kursus, amali, projek, modul dan ujian lisan. Keputusan calon akan terjejas sekiranya calon tidak melaksanakan kerja kursus atau tiada markah kerja kursus. Setiap calon mestilah mempunyai semua markah / pencapaian PBS setelah tamat tempoh pelaksanaan. PBS dilaksanakan mengikut garispanduan yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

2.0 KOMPONEN PBS

PBS terdiri daripada Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani & Kokurikulum.

2.1 Pentaksiran Pusat

Lembaga Peperiksaan (LP) menghasilkan tugasan, peraturan pelaksanaan dan panduan penskoran serta kaedah pelaporan.
Sekolah mentadbir, menskor hasil kerja murid dan menyediakan pelaporan. Pentaksiran ini bertujuan mengukur proses dan produk yang autentik, dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti :

i. Kerja kursus;
ii. Ujian lisan/bertulis
iii. Tugasan/folio
iv. Pemerhatian
v. Kemahiran amali; dan
vi. Persembahan/pembentangan lisan.

Pentaksiran dilaksanakan oleh guru, pentaksir luar, rakan sebaya, ibubapa, agensi luar dan ahli masyarakat dan dilaksana dalam tempoh yang ditetapkan oleh LP. Penjaminan kualiti dilaksanakan melalui proses pemantauan oleh pihak sekolah dan proses Penyelarasan oleh moderator. Penskoran merujuk standard yang telah ditetapkan. Prestasi bagi murid untuk Tahun 6, Tingkatan 3, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 dilaporkan bersama pelaporan peperiksaan pusat (UPSR/PMR/SPM/STAM). Prestasi murid juga dilaporkan melalui Laporan Perkembangan Murid, Carta Perkembangan Murid dan Rekod Pembelajaran Murid di peringkat sekolah. Pencapaian skor setiap murid dihantar kepada LP mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

2.2 Pentaksiran Sekolah

Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir, diskor dan dilapor oleh sekolah, di dalam bentuk pentaksiran formatif yang dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (Contoh: lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan, tugasan dan tugasan rumah) dalam bentuk pentaksiran sumatif di akhir suatu unit pembelajaran (Contoh: ujian bulanan, ujian semester). Berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning) dengan merujuk kepada Standard Prestasi.

Proses-proses pentaksiran adalah seperti berikut:-

i. mengenal pasti konstruk/perkara yang hendak ditaksir;
ii. merancang, memilih serta membina dan mentadbir instrumen pentaksiran yang memberi peluang keada muri mempamerkan atau mempersembahkan hasil kerja yang relevan.
iii. menilai hasil kerja murid dengan merujuk kepada deskriptor/kriteria dalam standard perstasi dan menentukan tahap pernguasaan murid.
iv. memberi maklumbalas kepada murid tentang prestasinya berdasarkan kekuatan dan kelemahan serta merancang dan melaksanakan langkah penambahbaikan; dan
v. merekod prestasi dalam portfolio untuk rujukan guru, penyelaras, murid dan ibubapa.

2.3 Pentaksiran Psikometrik

Suatu instrumen pentaksiran yang direkabentuk untuk
mendapatkan maklumat secara kualitatif dan kuantitatif tentang keupayaan seseorang untuk bertindakbalas dalam suatu cara tertentu. Ia mengukur kebolehan semulajadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum dan pengajaran-pembelajaran, dan dibangunkan atas nasihat pakar psikometrik dan ahli psikologi. Ditadbir mengikut keperluan, secara manual atau berkomputer oleh guru atau murid itu sendiri. Laporan pencapaian murid dibuat dalam bentuk deskriptif. Jenis Pentaksiran Psikometrik seperti berikut:

i) Ujian Aptitud Am

Ukuran gabungan beberapa kebolehan berkaitan :-
a. Visual – ruang – bukan verbal (pintar ruang);
b. Linguistik/verbal (pintar perkataan);
c. Logik-matematik/numerikal (pintar nombor/penakulan); dan
d. Minat dan kecenderungan.

ii) Ujian Aptitud Khusus

Ukuran kebolehan khusus yang berkaitan dengan potensi diri murid dalam sesuatu bidang pekerjaan atau khusus;-

a. muzik (pintar muzik);
b. kreatifviti (pintar minda);
c. interpersonal (pintar orang – pengalaman sosial);
d. intrapersonal (pintar diri – refleksi kendiri);
e. kinestatik – jasmani (pintar jasmani); dan
f. naturalis (pintar naturalisme).

iii) Inventori Personaliti

Ukuran ciri-ciri perilaku istimewa/unik dan stabil yang ada pada
setiap individu yang membezakannya dengan orang lain untuk:-

a. membantu guru mengenal pasti aspek-aspek sahsiah/personaliti individu murid supaya strategi pengajaran yang sesuai dapat digunakan;
b. membantu murid memahami personaliti diri sendiri dan orang lain untuk tujuan berinteraksi; dan
c. mengenalpasti stail pembelajaran dan bukan untuk melabel murid.

2.4 Pentaksiran Aktiviti Jasmani & Kokurikulum (PASJK)
Satu bentuk pentaksiran yang mengukur kecergasan dan kesihatan murid dalam pelbagai aktiviti jasmani, serta menilai dan mengukur penyertaan, penglibatan dan prestasi murid dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan ekstrakurikulum. Instrument dan panduan pentaksiran sedia ada dimantapkan oleh LP bersama organisasi yang berkenaan berdasarkan bidang kepakaran masing-masing. Aktiviti Jasmani diukur berdasarkan Standard Prestasi Jasmani iaitu:-

i. Panduan Pentaksiran Aktiviti Pendidikan Jasmani;
ii. Format Pelaporan Body Mass Index (BMI);
iii. Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK); dan
iv. Standard Kriteria Penjagaan Kesihatan.

Manakala aktiviti Kokurikulum diukur berdasarkan Standard Prestasi Kokurikulum. PAJK pula ditaksir menggunakan pelbagai jenis aktiviti dan instrument seperti:-

i. Kecergasan : naik turun bangku, BMI
ii. Kesihatan : pemerhatian, Buku Rekod Kesihatan
iii. Penyertaan : keahlian,kehadiran
iv. Penglibatan : jawatan, komitmen, peringkat; dan
v. Prestasi : pencapaian, sumbangan

Dilaksanakan secara berkala atau berterusan mengikut keperluan.
Ditaksir oleh guru, rakan sebaya, ibubapa dan agensi luar.

Pentaksiran dalam KSSR

Sebagaimana yang dimaklumi murid Tahun 1 di seluruh negara mulai tahun 2011 merupakan perintis terhadap pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).   Kurikulum baru ini adalah menggantikan kurikulum lama yang dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).  

KSSR telah mengurangkan penekanan terhadap peperiksaan. Sungguhpun demikian, sekolah masih tetap perlu menilai pencapaian murid-murid KSSR bagi memastikan murid-murid ini berada di landasan yang betul dalam mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Untuk memastikan  satu pelaporan perkembangan murid-murid ini secara holistik dapat dilaksanakan maka pendekatan dan cakupan sistem pentaksiran ini berbeza daripada biasa iaitu melalui Pentaksiran Sekolah yang menggunakan kaedah Pentaksiran Rujukan Standard.

Pentaksiran Rujukan Standard merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu dan boleh buat atau telah menguasai apa yang mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan oleh kurikulum mata pelajaran ini.  Pelaporan pencapaian murid KSSR dalam setiap mata pelajaran tidak lagi berbentuk gred (berdasarkan peratus markah yang diperolehi dalam peperiksaan) sebaliknya mereka akan dilabelkan dengan menggunakan band iaitu tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki (band 1 hingga band 6) yang menggambarkan sejauh mana murid-murid telah menguasai sesuatu standard seperti yang dijelaskan dalam deskriptor.  Penentuan band murid-murid ini dalam setiap mata pelajaran perlu disokong dengan evidens yang telah ditetapkan dalam dokumen standard prestasi mata pelajaran tersebut. Pentaksiran perlu dilakukan ke atas semua mata pelajaran yang diajar di sekolah: 
  1. Bahasa Malaysia
  2. Bahasa Inggeris
  3. Bahasa Cina
  4. Bahasa Tamil
  5. Bahasa Arab
  6. Pendidikan Islam
  7. Pendidikan Moral
  8. Matematik
  9. Pendidikan Khas
  10. Pendidikan Jasmani
  11. Pendidikan Kesihatan
  12. Dunia Sains dan Teknologi
  13. Dunia Seni Visual
  14. Dunia Muzik

Guru mata pelajaran perlu membina instrumen yang merupakan alat  untuk menguji penguasaan atau pencapaian murid bagi sesuatu domain.  Instrumen ini boleh dalam bentuk ujian bertulis, ujian secara lisan, demonstrasi dan ujian amali.  Setelah instrumen ini digunakan ke atas murid maka barulah ia boleh dijadikan sebagai evidens.  Untuk membina instrumen ini guru perlu merujuk Dokumen Standard Prestasi mata pelajaran masing-masing yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.  Dokumen ini mengandungi pernyataan tentang tahap perkembangan pembelajaran murid yang diukur berdasarkan standard dan menunjukkan di mana kedudukan murid dalam perkembangan pembelajarannya. Perkembangan dalam standard itu terbahagi kepada dua iaitu perkembangan secara mendatar (konstruk) dan perkembangan menegak (band). Pertumbuhan murid dijelaskan dengan satu atau lebih qualifier menggunakan perkataan atau rangkai kata yang betul menggambarkan standard dalam bentuk hasil pembelajaran. 



Melalui sistem pentaksiran yang baru ini, adalah diharapkan agar sistem pendidikan kita mampu untuk mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan tentang pembinaan modal insan yang berteraskan kepada pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.